Ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini menjadikan ikan hiasan sebagai haiwan peliharaan di rumah.
Antara kelebihan memelihara ikan ialah ia mampu memberi ketenangan kepada pemiliknya selain lebih mudah dijaga.
Malah di pasaran, terdapat pelbagai ikan hiasan yang dijual dan mendapat sambutan menggalakkan termasuk ikan laga, ikan guppy dan ikan koi.
Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan peminat ikan yang inginkan kelainan dengan sanggup mengeluarkan belanja yang besar memelihara ikan dilarang Jabatan Perikanan Malaysia termasuk ikan flower horn, ikan raja, ikan arapaima dan ikan buaya.
Pada tahun ini, terdapat enam kes sitaan dilakukan di premis ikan hiasan kerana menjual ikan larangan tanpa kebenaran bertulis ketua pengarah Jabatan Perikanan Perikanan Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman berkata, terdapat beberapa genus dan spesies ikan asing (bukan asli di Malaysia) yang dilarang untuk diimport, dijual, dipelihara atau disimpan.
Ia diperuntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb. Bagi Ikan) 1990 dan (pindaan) 2011 yang dibuat di bawah Akta Perikanan 1985.
"Larangan bagi genus ikan pada peraturan 1990 diwartakan atas dasar sifat-sifat asal Amazon yang karnivor ganas, traumatogenik dan berbahaya kepada populasi ikan tempatan dan masyarakat.
"Selain itu, pengenalan genus ini di perairan umum tanpa kawalan akan mengganggu, keseimbangan biodiversiti habitat dan ekosistem akuatik negara.
"Tambahan genus dan spesies bagi pindaan 2011 adalah berasaskan kepada faktor perebakan penyakit, sifat pemangsaan ganas serta keseimbangan biodiversiti ekosistem akuatik," katanya.
Menurutnya, tujuan peraturan ini diperkenalkan adalah untuk mengawal dan melindungi kepentingan ekosistem dan biodiversiti akuatik negara daripada didominasi ikan larangan ini.
"Ikan ini dikhuatiri akan mengganggu ekosistem semula jadi perikanan darat jika terlepas atau dilepaskan secara sengaja ke dalam sungai, tasik dan lain-lain perairan negara.
"Ikan-ikan ini mempunyai kecenderungan mendominasi ekosistem melalui kadar pembiakan yang tinggi dan bersifat agresif terhadap ikan lain.
"Selain itu, ikan ini mempunyai daya tahan yang tinggi dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baru dengan mudah," katanya.
Beliau berkata, menerusi Program Pemantauan dan Pengawasan Ikan Larangan yang dijalankan, tidak mengetahui peraturan sedia ada antara alasan yang kerap diberikan oleh pemilik premis dan individu.
"Bagi penjual, mereka berpandangan aktiviti tidak terikat dengan peraturan dan harga ikan ini lebih mahal di pasaran serta mendapat permintaan tinggi.
"Manakala individu yang memelihara ikan ini kerana ikan memiliki ikan asing yang mempunyai morfologi berbeza berbanding ikan asli tempatan," katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat keadaan masih terkawal memandangkan hasil kajian inventori di perairan sungai pada setiap tahun mendapati kehadiran spesies ikan yang dilarang masih di tahap rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments